CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Thursday, October 30, 2008

Tinta dan Pena 1

CINTA TERRAROSA BUNGA ANGKASA

Redup sang petang sedikit sebanyak telah mengubat amarahku. Mujurlah ada angin yang mahu meneman, mujurlah ada pohon hijau yang sanggup bertahan, dan mujurlah ada air mata yang bercucuran. Sekurang-kurangnya apabila tiada sesiapa di sisiku saat ini, aku masih rasa diri ini hidup dan wujud di dunia yang fana ini. Pedih hati ini tidak mungkin kukongsi dengan mereka yang bergelar insan, kerana yang berkepentingan sahaja yang dititik, yang seperti duka di hati, takkan mungkin terdetik walaupun seminit.

Angin terus menyapa lembut, mengirim dingin yang amat tenang. Aku kesunyian, benar-benar diamuk kesunyian. Di mana Terrarosa? Di mana bunga angkasa? Ah, Terrarosa dan Terosa , bukankah kedua-duanya berlainan sekali? Hanya mungkin nama yang seakan-akan, tapi yang lainnya tetap lain.

“Bunga.”

Waktu itu aku menoleh. Tetapi bukan kerana panggilan yang tiada langsung ada kaitnya dengan aku. Aku menoleh kerana yang menghuni wakaf sepi itu, hanya aku dan Terrarosa. Keningku berkerut. Sedikit pelik dengan Terrarosa yang sedang ralit menjamah wajahku.

“Bunga.” Dia mengulang.

“Bunga? Kenapa?”

“Kau Bunga.” Terrarosa mengukir garis senyuman.

Aku diam. Masih hairan dengan tingkah Terrarosa waktu itu. Sama sekali berubah, dan perubahan itu telah mengocak ombak kecil di dadaku.

“Aku Terrarosa. Kau bunga angkasa. Jadi kau Bunga.”

“Bolehkah begitu? Aku memang bunga, tapi bukan bunga angkasa. Aku bunga yang masih belum disunting dan masih mekar di laman ayah dan ibuku.” Aku cuba berseloroh. Tidak enak rasanya, mencipta romantika di waktu suasana sepi.

Terrarosa ketawa kecil. Baris gigi yang putih itu mengindahkan lagi pemandangan sekitar. Bertuah sekali, kerana aku pilihan Terrarosa, sedangkan Terrarosa boleh memilih di antara gadis-gadis yang lebih cantik daripada aku untuk dijadikan kekasih.

“Tiada yang semanis dan seharum kau, Bunga.” Lembut sahaja kata-kata itu menyinggah. Mengembangkan perasaan aku yang sedari tadi tidak menemui jawapan di sebalik kata-kata Terrarosa.

“Tuluskah cintamu? Setiakah hatimu, Bunga?”

Aku terkesima. Kenapa setiap kali tutur kata yang meluncur di bibir lelaki tampan itu membuatkan aku menjadi semakin tertanya-tanya? Kenapa aku semakin risau dengan laku Terrarosa?

“Takkan aku berdaya menidakkan kata-katamu. Ketulusan, kesetiaan dan kasihku untuk kau, bukan lagi persoalan, sebaliknya hakikat yang kau sendiri tidak mungkin boleh mengubah.”

“Kau sudi menjadi Bunga?”

“Masih dengan Bunga?”

“Ya. Sekali ini aku minta, jadilah Bunga untukku.”

Aku menggeleng. Kelihatan riak Terrarosa sedikit berubah.

“Aku masih tidak mengerti, Terrarosa.”

“Kau adalah bunga angkasa di hatiku. Dan izinkan aku menjadikan kau bunga di lamanku, agar harum dan sucimu memenuhkan ruang bahagiaku.” Ujarnya penuh harapan.

Aku bangun dan berdiri di hadapan Terrarosa. Nafas yang diteman debar kulepas perlahan-lahan. Wajah kekasihku itu kuteliti sebaiknya.

“Kau sudi jadi Bunga?”

Aku tidak tahu apa yang harus aku bicarakan, kerana rasa bahagia sudah mengunci lidahku. Bagaimana harus aku jelaskan? Rasa bahagia telah menjadikan segala-galanya kaku.

Dan dengan perlahan-lahan aku sedaya upaya menganggukkan kelopak mataku. Terrarosa menjerit puas dan lega kerana segala-galanya sudah bertemu jawapan.

“Terima kasih, Bunga. Terima kasih!”

“Aku bukan Bunga, aku…”

“Kau Bunga!”

Hanya gelak tawa, gurau senda mengiring pertemuan yang akan kupahatkan detiknya dalam sejarah hidupku.

Air mata yang sudah kering di pipi kini basah kembali. Mana mungkin aku padamkan pahatan bahagia itu. Mana mungkin.

“Adriana. Kau menangis?” Satu sapaan lembut mengejutkan aku. Aku menoleh ke arah suara itu.

“Terosa!” Kelam-kabut aku menyapu sisa-sisa yang masih bertakung.

Terosa melabuhkan punggungnya bertentang denganku.

“Aku tak akan memaksa kalau kau tidak sudi.”

Terosa yang berkulit cerah itu kuperhati sekilas. Bukannya tidak kacak, bukannya tidak berupa, tetapi Terrarosa telah membeli ruang cinta ini seratus peratus. Dan tidak mungkin aku menggadaikannya kepada Terosa. Terosa yang cintanya mudah berubah-ubah, perempuannya bertambah-tambah, Terosa tetap Terosa dan bukan Terrarosa.

“Kau bukannya bukan angkasa untuk aku puja.”

Terkejutku bukan kepalang, seolah fikiranku sedang dibaca oleh Terosa. Dan seketika, amarahku yang telah hilang, menyelinap kembali.

“Diari aku?” aku cuba meneka kerana itulah satu-satunya harta yang merakam kisah cintaku.

Terosa ketawa sinis.

“Satu dunia sudah tahu. Kau berangan menjadi bunga angkasa, bukan?”

“Terosa! Jaga lidah, jangan terlebih bisa.”

“Kenapa Adriana? Eh! Kenapa Bunga?” sindir Terosa.

“Kalaulah tujuan ini kau datang, baliklah Terosa. Aku tidak betah untuk melayan jenaka hebat kau.”

Aku memalingkan muka ke tempat lain. Tiba-tiba, aku teringatkan diariku yang mungkin sedang berada di tangan Terosa. Tentunya ayah dan ibu tahu, dan bagaimana aku mahu berhadapan dengan mereka nanti? Adakah mereka akan terus memaksa? Atau mungkin aku akan pergi. Pergi bersama bunga angkasa yang sudah tinggal impian.

“Baguslah kalau kau sudah menghafal kisahku, tapi pulangkan diari aku.”

Terosa ketawa lagi. Kali ini seperti puas.

“Sedang diselak helaian demi helaian oleh ayah kau. Cubalah kau tengok di sana.” Terosa menunjukkan tingkat tingkat atas rumahku. Kelihatan ayah sedang menumpu anak matanya ke arah kami.

Aku menjegil geram tetapi tidak dihirau. Malah Terosa semakin galak Huh, sangkaanku benar-benar tepat. Terosa memang lelaki keji. Sudahlah lahiriahnya buruk, batiniah juga rosak. Aku menggeleng sambil mataku menangkap kelibat ibuku yang menuju ke arah kami bersama dulang air.

Auntie, duduklah. Susah-susah saja buatkan air.”

“Bakal menantu, takkan pula susahnya. Jemputlah minum, Terosa,” ibuku memerhatiku dan kemudian, “Bunga?”

Perit. Aku hanya mampu menepis dengan hati yang sakit. Sampai hati ibu melayan aku begitu, hanya kerana Terosa banyak hartanya. Dan apalah ada pada Terrarosa. Hanya kaya budi, kaya pekerti, takkan mungkin ibu menerima lelaki itu.

“Ibu.” Aku cuba membina kekuatan untuk bersuara. Aku mahu memperbetulkan keadaan sebenar. Aku tidak mahu dijadikan jambatan kekayaan, atau darjat.

“Adriana jangan membantah. Keputusan ayah dan ibu tetap sama. Muktamad.”

Aku terdiam. Terosa kelihatan tersenyum puas.

“Adriana masih muda. Adriana dan Terosa belum cukup matang untuk berumahtangga.”

“Muda? Sudah 25 tahun, bukan muda lagi. Ibu dan ayah berkahwin waktu umur ibu 18 tahun. Sekarang kami hidup bahagia juga.”

Aku terdiam lagi. Hatiku bagai dihiris-hiris.

“Adriana sudah ada orang lain.” Aku menunduk. Wajah ibu menentang keras kata-kataku.

“Terrarosa?”

Aku mengangguk. Terosa hanya mendengar dan menyaksi ketegangan antara aku dan ibu. Aku sedikit pun tidak memandang ke wajah jelik itu. Manusia hipokrit.

“Dia sudah mati, Adriana. Mati. Sepatutnya dikebumikan sahaja dia tu.”

Aku mengucap panjang. Kenapalah ibu tega mendoakan kematian kepada yang belum mati.

“Dia masih ada peluang untuk hidup. Dia hanya koma.”

Ibu dan Terosa saling berpandangan, dan kemudian kedua-duanya berbalas ketawa kecil. Menyindir aku yang saat itu terasa benar-benar asing dan kerdil.

“Mayat hidup? Huh, jangan sesekali mengusung harapan terlalu tinggi. Terrarosa itu kalau hidup pun seolah-olah mati. Apa ada pada Terrarosa yang tidak ada pada Terosa?”

Aku menjeling ke arah Terosa, lelaki itu membalas sinis. Aku semakin benci untuk terus menatapnya. Dan aku tidak mahu untuk menatap wajah kebencian itu seumur hidup ini. Aku harus bertindak sendiri. Aku harus membantah sekeras-kerasnya.

“Biar dia miskin harta tapi dia bukan miskin budi bahasa. Keindahan dan keistimewaan yang ada pada Terrarosa, tidak secebis pun ada pada Terosa.”

“Duduk!” jerkah ibu ketika aku bangun, mahu beredar.

“Adriana tidak akan berkahwin dengan Terosa. Adriana cintakan Terrarosa.”

Aku melangkah pergi. Namun, tidak berjaya kerana disekat ayah yang sudah pun menghampiri kami bertiga. Spek mata ayah yang turun sedikit sehingga mengganggu penglihatannya itu diangkat dan diperbetulkan betul-betul di puncak hidung.

“Duduk dulu, Adriana. Ayah hendak bincang sedikit.” Kelembutan suara ayah yang berbaur tegas itu meruntun sebak yang sudah lama kutahan. Akhirnya air mata itu mencurah lagi, hingga teresak-esak.

Ayah memegang bahuku dan memimpinku supaya duduk kembali. Diari yang dijinjitnya diletakkan di riba.

“Adriana masih hendak menunggu Terrarosa?” soal ayah lembut.

Aku tidak memanggung, hanyak mengangguk dengan badan yang terhinjut-hinjut. Suasana hening, menunggu perbicaraan ayah selanjutnya.

“Terosa, uncle faham kehendak hati kamu. Tapi uncle rasa masa belum sesuai untuk Adriana mendirikan rumahtangga. Uncle…”

“Abang!”

Aku tergamam malah amat terkejut. Kudongak kepala sedikit demi sedikit menatap ayah di sebelahku. Sesekali aku melihat ibu dan Terosa. Kedua-duanya seperti hilang arah. Terosa membetulkan duduknya dan jelas sekali dia juga terkejut.

Uncle akan bincangkan perkara ni dengan ayah Terosa nanti. Uncle tak boleh memaksa Adriana sekarang. Pilihan Adriana, walau macam sekalipun, adalah pilihan uncle.”

“Tapi abang, kita tak boleh biarkan dia menunggu mayat bernyawa tu. Dia akan menyesal nanti” pujuk ibu masih mahu menyebelahi Terosa. Terosa pula tidak berani menjawab. Seperti patuh walaupun hakikatnya lelaki itu sudah hampir kalah.

“Cinta sejati tiada penyesalan. Dan kalau Terrarosa yang mampu membahagiakan Adriana, abang berserah. Lagipun, tidak salah kalau dia menunggu Terrarosa yang mungkin akan bangun dengan kekuatan cinta Adriana.”

Ibu diam. Terosa juga. Sama-sama tidak berani menjawab atau menyindir aku seperti sebelumnya.

“Terrarosa bukan minta untuk jadi begitu. Kemalangan yang berlaku itu bukan pintaannya. Biarlah Adriana jadi bunga di hati Terrarosa.”

Aku memeluk ayah seerat-eratnya. Tiada ungkapan terima kasih yang mampu keluar saat ini, hanya linangan air mata sahaja yang mampu mengungkapkan segala-galanya.

“Bunga angkasa Terrarosa, ayah sayangkan kau, nak.”

Aku tersenyum mendengar kata-kata bersulam semangat itu. Semuanya kerana diariku, yang kupenatkan jemari melakar setiap detik antara aku dan Terrarosa. Diari yang dihulur ayah itu kupeluk dan kucium berkali-kali di hadapan ibu dan Terosa.

Bangunlah Terrarosa, bangunlah! Raikan cinta bunga angkasa ini bersama-samaku.

Saturday, October 18, 2008

mAcAM ManA naK KoMen?

Mestilah mendaftar kat gmail dulu k..
pastu jom kita bersembang ..hehe...

Friday, October 17, 2008

Kegagalan Bukan Titik Noktah Kehidupan

Andai semalam kita pernah bermimpikan sebuah takdir yang hitam, jangan risau kerana yang hitam itu mungkin akan berubah menjadi putih. Dan bagi yang pernah gagal dalam kehidupan, jangan bimbang kerana kebanyakan orang yang berjaya adalah orang yang pernah mengalami kegagalan dalam hidup mereka.
Kegagalan itu hanyalah satu ujian bagi mereka yang mampu untuk menerimanya. Oleh itu, biarlah air mata kecewa itu mengalir sebanyak-banyaknya, dan selepas itu bangunlah untuk hari esok dengan semangat yang tinggi.
Selamat berjaya.

Teruskan Perjuangan Kita

Apa lagi keuntungan dan keistimewaan yang akan kita kecapi di masa mendatang kalau hari ini segala permasalahan dipandang remeh. Mungkin hari ini, cebis-cebis yang istimewa itu masih dirasa walaupun tanpa kita sedari, dan seterusnya membuatkan kita leka, namun apakh pula nasib untuk hari esok? Apkah kita harus bermula dari "Kosong"???
Untuk apakah kita menjadi orang asing di bumi sendiri lantas menyuburkan bangsa-bangsa BARAT itu sehingga kita lupa mereka itu ibarat GUNTING DALAM LIPATAN, yang mungkin akan melukakan kita suatu masa nanti seperti yang pernah terjadi sebelumnya.
Tamadunkah kita andai kita mengikut ciri ketamadunan barat yang jauh menyimpang daripada keluhuran wajah timur seperti kita? Sesekali, pernahkah anda terfikir, andai bahasa barat itu berkuasa dan dikuasai dengan baik oleh masyarakat kita, apakah ada lagi keistimewaan untuk setiap orang yang bertutur bahasa itu?? Tidak akan ada lagi orang MELAYU yang dipandang hebat, kerana semuanya mampu. Dan waktu itu, akan timbullah bahasa baru yang akan perlu kita kuasai, dan seterusnya pelbagai usaha akan dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut seperti yang berlaku sekarang. Semuanya ini ibarat sepohon pokok yang besar dan direndang, dicantas dan ditebang, dan memulakan hidupnya yang baru serta apakah mungkin manfaat yang mampu diberikan andai ia masih baru untuk bermula?
Inilah yang perlu kita perjuangkan... Tidak kira di lapangan apakah kedudukan kita saat ini, kita harus memikirkan cara yang terbaik untuk sentiasa memeliharanya.

Aku bermula di sini


Sekalung tahniah kepada diri aku sebab berjaya menghasilkannya.